Kecoh minggu lalu di gelanggang separuh akhir program Maharaja Lawak Mega 2013 selepas Nabil Ahmad dikecam hebat oleh para peminat dan penonton selepas didakwa mengaibkan salah seorang juri tetap, Luna Maya.
Akibat dari tindakan itu, timbul desas-desus mempersoalkan tahap pemantauan dan kawalan daripada pihak Astro terhadap isu kandungan lawak para peserta yang dilihat kurang menjaga sensitiviti dengan mempersendakan individu atau isu semasa sebagai bahan lawak jenaka.
Menurut Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani yang dipetik menerusi akhbar Harian Metro, Pemantauan dan penapisan yang dipersembahkan oleh para peserta adalah perkara utama yang dititikberatkan setiap minggu sejak dahulu lagi.
“Pemantauan tentang isi kandungan jenaka para peserta adalah perkara rutin yang sering kami amalkan sejak ianya mula bersiaran langsung. Contohnya, ketika para peserta mengadakan latihan sebelum program bermula, kami akan pantau dan kawal segala isi kandungan jenaka mereka.
“Namun biasalah apabila pertandingan secara langsung, kadangkala para peserta terlupa jenaka mereka telah disusun seperti yang dikehendaki. Jadi mungkin para peserta terpaksa keluarkan lawak spontan dari apa yang mereka nampak di depan mata.
“Jadi apabila ianya lawak spontan, mungkin ada isi kandungan itu kurang sesuai untuk tontonan dan menganggu sensitiviti pihak tertentu dan kami percaya ianya bukan disengajakan,” jelas Encik Nizam Sani panjang.
Jelas Nizam Sani lagi, pihak Astro telah menghubungi Luna Maya untuk menjernihkan kekeliruan yang timbul bagi mengelakkan isu ini berpanjangan.
“Kami sudah hubungi Luna Maya bagi mengelakkan perkara ini jadi salah faham. Kami percaya Nabil atau mana-mana peserta sedia maklum dan peka dengan polisi yang telah ditetapkan.
“Apa jua bahan jenaka yang dipersembahkan yang keterlaluan ketika siaran langsung akan kami tapis dan senyapkan audio (mute) untuk tontonan di televisyen. Malah jika dilihat sebelum ini pun kami pernah mengeluarkan amaran kepada peserta yang melanggar etika dan polisi yang sudah dipersetujui dari awal,” ujarnya lagi mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment